arena

Acid mahu buka lembaran baharu

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Musim lalu pertahanan kanan skuad Terengganu FC (TFC), Hasnizaidi Jamian lebih banyak menjadi 'penonton' daripada beraksi kerana dibelenggu kecederaan hamstring yang hampir membunuh kariernya.

Bagaimanapun peluang kedua diberikan barisan jurulatih skuad Penyu itu musim ini tidak akan dipersiakan pemain kelahiran Felda Tenggaroh, Johor itu untuk membantu pasukannya dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya tidak mahu dilabel pemain yang banyak berehat daripada beraksi, musim lalu saya tidak dapat bermain kerana masalah kecederaan hingga terpaksa berehat panjang.

"Selepas sembuh daripada kecederaan sudah pasti saya memerlukan sedikit masa untuk kembali cergas sepenuhnya bagi disenaraikan dalam kesebelasan utama selain perlu bersaing dengan pemain lain.

"Justeru apa yang saya idamkan semoga tahun ini saya bebas daripada sebarang kecederaan sekali gus dapat membantu pasukan memburu trofi kejuaraan musim ini," kata pemain yang lebih mesra dipanggil Acid itu kepada Sukan NSTP.

Musim lalu bekas pemain FELDA United itu hanya beraksi empat kali bersama naib juara Piala Malaysia musim lalu itu manakala selebihnya memanaskan bangku simpanan.

Pagi tadi pemain berusia 29 tahun itu bersama rakan sepasukan bertolak ke Vietnam untuk aksi persahabatan pra musim dengan tiga kelab di negara berkenaan iaitu Binh Duong pada 14 Januari diikuti Truong Giang (16 Januari) dan Quang Ninh (17 Januari).

"Jika diberi peluang beraksi dalam aksi persahabatan itu nanti sudah pasti saya akan berusaha gigih untuk mendapat tempat dalam skuad Penyu itu musim ini," kata Acid.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 3:26pm
d