arena

Pintu KL sentiasa terbuka buat Syazwan  

Oleh Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: "Pintu Kuala Lumpur sentiasa terbuka untuk Syazwan," kata pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah.

Yusri yang juga bekas pengendali Kelantan mengakui pasukannya akan merasai kehilangan Syazwan Andik Ishak namun dia menghormati keputusan diambil pemain berusia 22 tahun itu demi kelangsungan kariernya.

Malah, dia juga tidak pernah berdendam dengan mana mana pemain dan turut mengucapkan selamat maju jaya buat Syazwan bersama pasukan baharunya itu

“Mungkin itu keputusan dirasakan terbaik dan saya tidak pernah menghalang Syazwan daripada berhijrah ke mana mana pasukan kerana karier selaku pemain bola sepak ini tidak panjang.

“Apapun, teruskan berusaha keras untuk meningkatkan lagi permainannya apatah lagi dia sememangnya kini sudah bertaraf pemain kebangsaan.

“Apapun, pintu Kuala Lumpur sentiasa terbuka dan saya berbesar hati untuk menerimanya jika dia mahu kembali pada masa akan datang. Mana mana jurulatih pun tidak akan menolak pemain dengan kaliber seperti Syazwan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Terdahulu, juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata pantas 'membuat kerja' selepas sah menyambar pemain muda kebangsaan itu bagi musim 2019.

Meskipun baru semalam Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengeluarkan kenyataan secara terbuka menyatakan mereka berminat mendapatkan khidmat bekas pertahanan Kuala Lumpur itu, namun urusan perpindahan pemain berkenaan sudah diselesaikan hari ini.

Pengesahan rasmi pemain berusia 22 tahun itu menyertai skuad Harimau Selatan itu diumumkan menerusi satu klip video pendek di laman sosial facebook Johor Southern Tigers.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 7:17pm
d