arena

KLFA berdepan pemotongan geran tahunan

Oleh Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: Belum sempat meratapi kehilangan tonggak pertahanan, Syazwan Andik Ishak, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mendapat 'bala' apabila berdepan kemungkinan pemotongan geran tahunan susulan tunggakan gaji dihadapinya.

Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam yang menjelaskan sekatan terhadap pemberian geran tahunan kepada KLFA itu dibuat berdasarkan peruntukan sedia ada.

Malah, Kevin menegaskan pihaknya sentiasa konsisten dengan keputusan diambil sepanjang dua tahun lalu yang menyaksikan badan pengendali liga itu pernah mengenakan denda dan memotong mata pasukan yang melanggar peraturan.

"MFL berhak untuk menyekat pemberian geran tahunan kepada KLFA selaku pasukan Liga Super sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan segala hutang tertunggak.

"Pihak KLFA perlu membuktikan bahawa semua bayaran sudah dibuat dan mematuhi dokumen diperlukan dalam pendaftaran liga bagi membuktikan bahawa KLFA mempunyai kewangan yang baik dan perancangan untuk kekal bersaing dalam kempen 2019 dengan jayanya.

"MFL akan meminta penjelasan terperinci daripada KLFA dengan segera untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL," katanya dalam satu kenyataan kepada Sukan NSTP, hari ini.

Sebagai rekod, peraturan sama turut tertakluk kepada pendatang baharu Liga Perdana, Perlis yang dibenarkan beraksi dalam saingan divisyen dua itu namun secara bersyarat.

Menerusi peruntukan sama, MFL menyekat pembayaran geran tahunan skuad Singa Utara itu selagi mereka belum menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari daripada tarikh yang sudah ditetapkan.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 8:25pm
d