arena

Kemperman tunjuk belang

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Bintang import Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Robbert Kemperman ‘mengesahkan’ kehadirannya dalam kempen Liga Perdana, Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 apabila menjadi arkitek pasukannya ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM), petang tadi.

Finalis pemain terbaik dunia 2014 dari Belanda itu membantu UniKL meraih gol pertama selepas lorongan cantik ke sebelah kanannya disudahkan pertahanan Sukri Mutalib pada minit ke-40.  

Kemperman kemudiannya menghadiahkan penalti stroke selepas penjaga gol UiTM, Mohd Adi Fazri Ab Rahim menjatuhkannya sebelum Havenga menyempurnakannya minit ke-46.

Seminit sebelum tamat perlawanan, Mohd Azwar Abd Rahman merapatkan jurang untuk UiTM menerusi gol padang tetapi ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan UniKL.

"Saya gembira dengan kejayaan pasukan hari ini," kata Kemperman. "Bagaimanapun saya belum dapat menonjolkan aksi sebenar kerana masih terasa kepenatan selepas mengharungi perjalanan panjang dan tiba dari Belanda semalam.

"Malah, saya belum sempat menyesuaikan diri dengan pasukan dan akan menggunakan tempoh rehat lima hari ini untuk atasi masalah berkenaan," katanya merujuk kepada persembahan lambat panas pasukan di babak pertama perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Razak, UiTM mempamer aksi cemerlang sepanjang separuh masa pertama apabila berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Namun segala peluang itu termasuk satu penalti stroke yang diperoleh pada minit ke-22 disia-siakan.

Meskipun kali pertama menurunkan lima daripada enam pemain importnya iaitu Martrijn Havenga, Valentin Verga, Robert Kemperman (Belanda), Timothy Deavin dan Kieran Govers (Australia), UniKL dilihat agak bergelut. 

Seperti UiTM, UniKL juga dihadiahkan penalti stroke di suku ketiga tetapi tolakan Muhammad Razie Abdul Rahim sedikit tersasar di luar gawang gol.

Sementara itu, TNB terus mengukuhkan reputasinya selaku pencabar utama apabila meratah Nur Insafi 10-0 untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi UiTM 4-1 dalam aksi pembukaan Jumaat lalu.

Firhan Ashaari memulakan pesta jaringan pada minit ke-10 dan gol-gol lain dijaringkan oleh Norshafiq Sumantri (m-15), Tengku Ahmad Tajuddin (m-18), Shello Silverius (m-19), Nik Aiman Nik Rozemi (m-25), 

Jaringan Azrai Aizad Kamal (m-27), Akhimullah Anuar Esook (m-30, 57), Ramadan Rosli (m-47), Noor Firdaus Rosdi (m-48) melengkapkan kemenangan penuh bergaya skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasruddin.

 Pasukan Hoki Terengganu (THT) pula turut meraih kemenangan sulung musim ini dengan membenam TNT Thunderbolts 4-0 menerusi sumbangan gol Faizal Saari (m-18), Jang Jong Hyun (m-24), Fitri Saari (m-48), Rashid Baharom (m-60).

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 10:01pm
d