arena

Kemperman, Verga sengat baru serangan UniKL

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj mengakui ketumpulan jentera serangan yang menjadi masalah utama pasukannya bakal diatasi dengan kehadiran bintang import hoki Belanda, Robbert Kemperman dan Valentin Verga.

Kombinasi penyerang tempatan yang kurang berpengalaman dan ketandusan idea menyaksikan UniKL bergelut pada empat perlawanan pertama musim ini termasuk dua aksi Piala Tan Sri P Alagendra.

Keadaan itu menyaksikan Arul beberapa kali terpaksa mengarahkan pemain tengah, Marhan Jalil dan pertahanan Najmi Farizal Jazlan beraksi di posisi penyerang sejak awal saingan liga 2019.

Malah, beliau terus melakukan ujian ketika UniKL membenam Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-1 dalam aksi kedua Liga Perdana semalam, dengan percaturannya menggandingkan Kemperman dan Verga sebagai penyerang di babak kedua akhirnya menghasilkan dua jaringan berkenaan.

“Sudah pasti,” kata Arul sebaik ditanya mengenai masalah ketumpulan jentera serangannya.

“Namun ia menjadi aksi pertama kami mempunyai barisan lengkap selepas Kemperman dan Verga baharu saja tiba di tanah air.

“Tetapi selepas melihat perlawanan hari ini (semalam) saya akan menggandingkan Kemperman dan Verga di posisi penyerang walaupun pada asalnya mereka adalah pemain tengah.

“Kami mempunyai ramai lagi pemain tengah seperti Sukri Mutalib, Kieran Govers dan Marhan sekiranya memilih untuk menurunkan Kemperman dan Verga sebagai penyerang," katanya.

Pada ketika Kemperman, 28, dan Verga, 29, hampir pasti menjadi calon automatik di posisi penyerang, baki satu slot bagi melengkapkan kombinasi penyerang tiga serangkai akan menjadi rebutan antara Faridzul Afiq Mohd, Muhamad Hafiz Zainol dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.

“Saya mungkin akan menggandingkan dua pemain import Belanda ini dengan Faridzul, Hafiz atau Izwan Firdaus, jika tidak saya boleh mempertaruhkan kombinasi semua pemain import di bahagian serangan membabitkan Kemperman, Verga dan Govers,” kata Arul.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 3:12pm
d