arena

Tolonglah bayar gaji kami...

Oleh Malik Muhamad

 

KUALA TERENGGANU: Sudah jatuh ditimpa tangga. 

Inilah nasib dialami bekas pemain juara Piala FAM musim lalu, Terengganu City FC (TCFC) apabila mendapat 'duka’ berganda.

Selepas tunggakan gaji mereka tidak dibayar sehingga hari ini, sebahagian besar bekas pemain skuad itu kini hidup melarat kerana tidak mendapat tawaran bermain dengan pasukan lain musim ini.

Malah, lebih mendukacitakan biarpun sudah membuat permohonan dengan beberapa pasukan, namun berbaki kira-kira 15 hari lagi sebelum sepak mula Liga Malaysia (Liga M), tidak mungkin mereka mendapat tempat dengan pasukan baharu.

Bekas pemain sayap TCFC, Mohd Dzaiddin Zainudin, 26, berkata kehidupannya kini bertambah perit apabila tidak mendapat tempat beraksi dalam mana-mana pasukan.

“Gaji kami sejak Julai lalu sehingga kini belum dibayar oleh pengurusan TCFC yang sudah beberapa kali berjanji nak bayar, kini kami dihimpit episod baharu kerana belum mendapat tempat lagi dalam mana-mana pasukan.

“Ini merunsingkan saya, bagaimanapun saya tidak mahu mengalah dan menyalahkan takdir, sebaliknya akan berusaha selagi termampu selain berdoa supaya gaji kami dibayar serta mendapat peluang beraksi dengan pasukan lain musim ini biarpun liga kian hampir,” kata Dzaiddin kepada Sukan NSTP.

Bekas pemain Harimau Muda B dan Negeri Sembilan itu yang sentiasa menanti berita gembira daripada bekas majikannya berharap panggilan telefon diterimanya minggu lalu daripada TCFC berkaitan pembayaran tunggakan gaji menjadi kenyataan.

“Saya harap panggilan itu benar dan bukannya palsu untuk menyedapkan hati kami, kami sudah banyak berkorban, mengerah kudrat, latihan pagi petang sebelum muncul juara Piala FAM, “ kata Dzaiddin.

Seorang lagi bekas pemain TCFC yang enggan mendedahkan namanya menuntut pengurusan TCFC membayar segera tunggakan gaji tahun lalu kerana sudah berlarutan begitu lama.

“Sekarang saya terpaksa mencari pekerjaan lain selepas tidak mendapat tempat dalam pasukan ditambah pula tunggakan gaji tidak dapat lagi,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 3:24pm
d