arena

Hanya satu kemenangan buat Tok Gajah di Thailand

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Skuad Pahang menamatkan tiga aksi pramusim di Thailand dengan masing-masing merekodkan satu kemenangan, seri dan tewas sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pada aksi berkenaan, skuad Tok Gajah menewaskan kelab Liga 1 Thailand, Chonburi FC 2-1, seri 0-0 dengan Army United dari Liga 2 Thailand dan tewas 1-3 kepada kelab Divisyen 1 Kemboja, Visakha FC.

Mengulas keputusan itu, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ia tidak menggambarkan persembahan sebenar skuad Tok Gajah.

"Aksi pramusim di Thailand lebih kepada menilai prestasi pemain yang baharu kembali menjalani latihan bulan lalu terutama daripada segi persefahaman dan menilai tahap kecergasan.

"Apa yang dipersembahkan pemain menunjukkan mereka sudah berada pada tahap terbaik sebelum saingan Liga M bermula bulan depan.

"Komitmen pemain juga dilihat positif dan kami mengharapkan pertemuan dengan tiga kelab itu memberi motivasi," katanya.

Ditanya senarai pemain import, Mohammed Suffian berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan rasmi kerana pihaknya masih lagi menguji beberapa pemain.

"Kita juga masih mempunyai tempoh untuk menyenaraikan pemain import bagi memastikan mereka yang menyarung jersi Pahang musim ini adalah yang terbaik.

"Tumpuan ini lebih kepada mendapatkan dua penyerang import dan masing-masing seorang pemain tengah dan pertahanan," katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 5:05pm
d