arena

Sokongan penyokong bangkitkan semangat Kedah

Oleh Izzali Ismail

 

ALOR SETAR: Pemain sayap Kedah, Syahrul Azwari Ibrahim menganggap kehadiran 25,000 penyokong tuan rumah pada aksi merebut kejuaraan Unity Shield di Stadium Darul Aman semalam berjaya membakar semangat dan mendorongnya mencipta gol selepas hanya dua minit beraksi.

Ternyata kehadiran begitu ramai penyokong yang mahu melihat aksi pasukan baharu Kedah mencetuskan kekuatan tambahan dalam diri pemain berusia 26 tahun kelahiran Kelantan itu ketika pasukannya mencatat kemenangan 2-0.

"Peluang yang diberi jurulatih Aidil Sharin Sahak kepada saya untuk beraksi menyebabkan saya melakukan yang terbaik.

"Selepas dipilih masuk pada minit ke-73 menggantikan Zaquan Adha Abdul Radzak sudah tentu saya rasa bangga beraksi di stadium dihadiri puluhan ribu penyokong dan sebaik masuk saya meletakkan harapan tinggi untuk melakukan aksi terbaik.

"Kehadiran penuh penyokong Kedah memberikan suasana cukup baik kepada saya dan rakan-rakan kerana penyokong menjadi motivasi kepada kita untuk bermain dengan lebih baik,” katanya.

Azwari yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Melaka United (MU) sebelum ini turut mengakui kekentalan pasukan Perak terutama di bahagian bentengnya namun dia tetap bersemangat untuk membolosinya.

"Pasukan Perak kita tahu mereka pasukan sudah lama dibentuk, tapi dengan bantuan serta sokongan tambahan daripada penyokong Kedah yang hadir ke Stadium Darul Aman semalam, kita berjaya beraksi dengan baik,” katanya.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 5:16pm
d