arena

TLHT berpesta gol

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) melaung amaran awal selepas mudah meratah skuad ‘budak sekolah’ PSHA-MSSPP (Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang) 13-0 dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang tadi.

Pemain skuad Malaysian Tigress yang pernah menyarung jersi kelab Butterfly Hockey Roma (Liga Itali), Fatin Shafika Mohd Sukri dan pemain import dari India, Jaspreet Kaur beraksi cemerlang selepas masing-masing meledak empat gol untuk membantu pasukan meraih kemenangan besar berkenaan.

TLHT yang dibimbing Iman Gobinathan memulakan pesta gol melalui Fatin Shafika menerusi gol padang pada minit ke-6 sebelum melengkapkan jumlah jaringannya pada minit ke-14, 20 dan 49.

Jaspreet yang beraksi di jentera tengah pasukan turut bertindak cemerlang dengan gol yang dijaringkan bermula daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-19 diikuti gol pada minit ke-34, 36 dan 41.

Kapten TLHT, Siti Noor Amarina Ruhani turut memahat nama sebagai penjaring apabila menghasilkan gol pada minit ke-12 melalui pukulan sudut penalti.

Pemain meningkat naik, Norul Ain Abd Mutalib terus menghukum kerapuhan benteng pelawat apabila meledak gol pada minit ke-26 disusuli jaringan Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail pada minit ke-35.

Penyerang kebangsaan, Nur Syafiqah Mohd Zain dan seorang lagi pemain import dari India, Jaswinder Kaur masing-masing turut tersenarai sebagai penjaring apabila menghasilkan gol pada minit ke-44 dan 60 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya skuad itu.

Sementara itu Iman berkata, beliau berpuas hati selepas anak buahnya berjaya merakam kemenangan besar pada aksi kedua selepas menang 5-0 pada aksi pertama bertemu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

“Saya masih menguji keserasian pemain tempatan dan import selepas dua perlawanan. Namun kemenangan besar ini memberi kelegaan kepada kami selepas pemain berjaya merealisasikannya,” katanya selepas tamat perlawanan.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 9:33pm
d