arena

Fatehah sasar podium ACC

Oleh Haika Khazi

SEPANG: Kejohanan Basikal Trek Asia 2019 (ACC) di Korea Selatan pada Oktober depan bakal menjadi penentu hidup mati kerjaya Fatehah Mustapa sebagai pelumba basikal negara termasuk peluang ke Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, Fatehah berkata beliau perlu berlatih bersungguh-sungguh biarpun tanpa kehadiran jurulatih rasmi bagi memastikan beliau mampu meraih podium terutama dalam acara kegemarannya, keirin di ACC Oktober nanti.

Pelumba berasal dari Dungun Terengganu berkata, kejayaan menang podium di ACC penting bagi mencerahkan peluangnya kembali beraksi di Kejohanan Basikal Dunia dan mengumpul mata ke Olimpik Tokyo 2020.

"Saya agak berpuas hati dengan catatan masa dibuat dalam acara pecut di ACC Jakarta minggu lalu biarpun tersingkir di pusingan awal kerana sudah lama tidak beraksi di peringkat Asia dan siri Piala Trek Dunia.

"Tambahan pula dengan keadaan saya yang terpaksa berlatih sendirian tanpa kehadiran jurulatih rasmi di Malaysia berbanding rakan sepasukan lain yang menjalani latihan di luar negara.

"Saya juga berpuas hati kerana menduduki tangga kelapan dan terkeluar dari saingan selepas tewas di peringkat separuh akhir acara keirin di ACC.

"Bagaimanapun saya perlu bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dan kembali memenangi pingat terutama dalam acara keirin di ACC Oktober nanti," katanya ketika ditemui pemberita di KLIA2 sejurus tiba di tanah air selepas menyertai ACC di Jakarta, minggu lalu.

Fatehah juga mengesahkan beliau berkemungkinan besar tidak akan menyertai Kejohanan Basikal Trek Dunia di Belanda Mac ini selepas tidak menyertai dua Piala Dunia dan gagal meraih mata yang banyak di ACC.

"Jadi saya kena terus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pretasi ke tahap lebih baik dan kembali menang podium pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Fatehah sekali lagi memberi bayangan mungkin bersara dari arena basikal tanah air jika gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 10:01pm
d