arena

Mitrovic, Kamara bergaduh ketika yoga

Oleh Agensi

LONDON: Aleksandr Mitrovic dan Aboubakar Kamara terpaksa diasingkan daripada rakan sepasukan di Fulham, selepas terbabit dengan insiden pergaduhan ketika sesi yoga.

Kedua-dua pemain itu dilaporkan bergaduh selepas Kamara dikatakan bersikap kurang ajar dengan jurulatih yoga.

Ini bukan kali pertama kedua-dua gandingan itu berselisih faham selepas Kamara merampas bola daripada Mitrovic untuk mengambil sepakan penalti ketika bertemu Huddersfield, Disember tahun lalu.

Kamara kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti itu dan Mitrovic meledak gol kemenangan pada hujung perlawanan.

Pengurus Fulham, Claudio Ranieri kini dilaporkan bersedia untuk mengetepikan Kamara selepas kurang senang dengan sikap pemain itu sejak beberapa minggu lalu.

Kamara diketepikan ketika Fulham mencatat kemenangan 2-1 di Burnley, Sabtu lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu ditandatangani pada Julai 2017 dari kelab Perancis, Amiens menerusi nilai perpindahan yang tidak didedahkan.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 10:41am
d