arena

Sumareh yang lebih baik

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR : Selepas diberi lampu hijau untuk bermain menerusi kuota pemain tempatan buat Pahang bagi musim 2019, Mohamadou Sumareh berazam untuk melakukan lebih baik dan berterima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberi sokongan.

Ketika status selaku pemain tempatan buat pemain naturalisasi pertama negara itu “masih dalam pertimbangan” oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), penyokong menggunakan media sosial menyatakan kekecewaan mereka memandangkan pemain berusia 24 tahun itu membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF.

“Penyokong memiliki pandangan sendiri dan jelas mereka marah tapi mereka perlu menunggu dulu kerana keputusan itu tidak memihak kepada saya.

“Bagi saya, tiada apa yang perlu dimarahkan dan baguslah ia sudah diselesaikan,” katanya.

Pemain kelahiran Gambia itu membantu Pahang menang gelaran ketiga Piala FA musim lalu dan berazam untuk sekali lagi meraih trofi musim ini.

“Sasaran peribadi saya adalah melakukan lebih baik setiap tahun kerana tahun lalu kami menang Piala FA dan sebagai pemain sasaran anda sentiasa untuk menjadi lebih baik iaitu kami perlu lebih baik berbanding tahun lalu,” kata Sumareh mengenai kedudukan keempat Liga Super buat Pahang.

Sumareh yang membuat tujuh penampilan bersama Harimau Malaya pada Piala AFF baru pulang dari Bangkok selepas perlawanan ujian bersama Visakha FC (tewas 1-3), Chonburi FC (menang 2-1) dan Army United (seri 0-0) berkata, pasukan itu beraksi dengan baik.

“Kami baru saja bersama sebagai satu pasukan untuk beberapa perlawanan persahabatan dan ia bagus untuk kecergasan saya.

“Kami kembali mendapatkan keserasian, kerjasama sepasukan tampak bagus buat masa ini tapi berbaki hanya dua minggu kami perlu memenuhkan kuota pemain import dan selepas itu semuanya sudah sedia,” katanya.

Pahang mempunyai tempoh hingga Ahad ini untuk memenuhkan kuota pertama perpindahan pemain Liga Malaysia ketika skuad Tok Gajah masih perlu mencari tiga pemain untuk slot pemain import.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 7:25pm
d