arena

Amaran awal Serena

Oleh AFP

MELBOURNE: Serena Williams melaungkan amaran awal pada Terbuka Australia apabila menyingkirkan lawannya di pusingan pertama dalam tempoh 49 minit, hari ini.

Bintang Amerika Syarikat itu menuju ke gelanggang dengan sasaran menyamai catatan Margaret Court yang meraih 24 gelaran Grand Slam dan ia kepulangan sulungnya di Melbourne Park sejak memenangi edisi 2017 ketika sedang mengandung lapan minggu.

Berusia 37 tahun, Serena tidak begitu menonjol menjelang kejohanan utama pertama tahun ini tetapi ia tidak menghalangnya daripada meraih kemenangan bergaya ke atas pemain yang turut bergelar ibu dari Jerman, Tatjana Maria 6-0, 6-2.

Mengenakan pakaian berwarna hijau yang unik di Arena Rod Laver, pilihan ke-16 itu tidak menunggu banyak masa untuk memperagakan kemampuannya dan mengakui dia gembira dapat kembali ke gelanggang.

“Kali terakhir saya di sini saya sedang mengandung dan bermain jadi ia sesuatu yang gila,” kata Serena. “Agak pelik untuk kembali berjalan di sini, seorang diri ketika ini, perasaannya bagus. Saya memperoleh begitu banyak memori ketika kali terakhir saya berada di sini.”

Memburu gelaran kelapan di Melbourne Park, ramai pengkritik meletakkan harapan tinggi terhadap Serena sekalipun kedudukan rankingnya rendah dan dijadual bertemu Eugenie Bouchard pada pusingan kedua selepas pemain Kanada itu menyingkirkan pemain China, Peng Shuai.

Serena beraksi pada kejohanan berpasukan campuran Piala Hopman di Perth, bulan ini tetapi penampilannya hari ini adalah yang pertama sejak dia hilang sabar ketika tewas final Terbuka AS kepada Naomi Osaka dari Jepun, September lalu.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 8:15pm
d