arena

Rundingan akhir KOM bawa Patrick

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan mereka berada pada rundingan fasa akhir untuk membawa dua jurulatih luar negara, David Patrick bagi acara pecut dan berpagar serta Bedros Bedrosian bagi acara lompatan.

Perkara itu disahkan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim pada mesyuarat jawatankuasa kerja hari ini dan berharap mereka mampu hadir dalam tempoh secepat mungkin, jika semua urusan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) selesai.

“Kami mahu berterima kasih kepada MSN kerana menepati janji dan sekarang kami sudah mendapat kata putus iaitu David (Patrick) akan dibawa ke sini dalam tempoh seminggu,” katanya kepada media hari ini.

Jelasnya, mengenai urusan gaji dan kontrak dua jurulatih itu semuanya terpulang kepada MSN, namun KOM tidak akan memberi muka jika pengendali luar negara itu gagal mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI).

“Kami akan tetapkan KPI buat mereka dan jika tidak mematuhi perkara ini, kami boleh tamatkan kontrak mereka. Mengenai KPI kami akan duduk dan berbincang selepas mereka tiba di sini,” katanya.

Patrick yang juga bekas pelari 400 meter berpagar Amerika Syarikat pada Sukan Olimpik Barcelona 1992 kali terakhir bertugas di universiti negara kelahirannya.

Bedrosian pula bekas atlet lompat kijang Romania dan baru saja menamatkan tugasan terakhir selaku ketua jurulatih olahraga di India.

Sementara itu, KOM mengakui atlet melempar cakera negara, Irfan Shamsuddin pernah meminta untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara, Imrich Bugar.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 10:10pm
d