arena

Soon Huat-Shevon lebih tertekan

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengakui keputusan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencetus lebih tekanan buat mereka.

Ia kerana mereka mengambil alih tempat Peng Soon-Liu Ying sebagai pasangan utama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Shevon menganggap ia sebagai cabaran baharu buat mereka dan dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan situasi terbaru itu.

“Tipulah jika kami katakan kami tidak berasa tertekan dengan situasi ini (sebagai pasangan utama skuad kebangsaan).

“Namun kami dalam proses belajar kerana gandingan kami pun baru tiga tahun berbanding Peng Soon-Liu Ying yang mempunyai pengalaman cukup luas terutama untuk mengatasi tekanan sebegini.

“Apa pun, bagi kami ia satu cabaran dan pengalaman baharu. Diharapkan kami boleh mengharunginya,” kata Shevon ketika ditemui selepas aksi pusingan pertama kejohanan Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan ranking dunia, Peng Soon-Liu Ying yang baru menjuarai Masters Thailand kelmarin, masih kekal beregu campuran terbaik negara apabila menghuni tangga keenam dunia manakala Soon Huat-Shevon di tangga ke-11.

Jika semua berjalan lancar, dua pasangan negara itu akan bertembung sesama sendiri pada suku akhir.

Terdahulu, pada pusingan pertama hari ini, Soon Huat-Shevon yang tampil sebagai pilihan kelima kejohanan mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 23-21, 21-14.

Mereka akan bertemu Takuro Hoki-Wakana Nagahara dari Jepun bagi perebutan tempat ke suku akhir, Khamis ini.

“Kami hilang fokus sedikit pada set pertama selepas mendahului dan itu menyebabkan mereka berjaya bangkit namun mujur tetap memenangi set pertama. Itu memberi keyakinan lebih tinggi kepada kami bagi memenangi set kedua,” kata Soon Huat.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi dua lagi lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei apabila tersingkir pada pusingan pertama, hari ini.

Kian Meng-Pei Jing terus bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tewas kepada pilihan kesembilan dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcok 22-20, 11-21, 15-21 manakala Tang Jie-Yen Wei tunduk di tangan beregu Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 18-21, 12-21.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 10:19pm
d