arena

Cech gantung but hujung musim

Oleh AFP

LONDON: Penjaga gol Arsenal, Petr Cech mengumumkan persaraannya hujung musim ini.

Pemain berusia 36 tahun yang memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea mendedahkan keputusannya itu menerusi laman Twitter, hari ini.

“Ini musim ke-20 saya sebagai pemain profesional dan sudah 20 tahun sejak saya menandatangani kontrak profesional pertama saya, jadi saya rasa ia masa yang tepat untuk mengumumkan saya akan bersara hujung musim ini,” tulis Cech.

Pemain Republik Czech yang tiba di Liga Perdana dengan menyertai Chelsea pada 2004 dan berpindah ke Arsenal pada 2015 itu berkata: “Selepas bermain selama 15 tahun di Liga Perdana dan memenangi segala trofi yang ditawarkan, saya berasakan saya sudah mencapai segala-gala yang saya tetapkan untuk dicapai.

“Saya akan terus bekerja keras di Arsenal untuk berharap memenangi satu lagi trofi musim ini, kemudian saya akan melihat apa yang boleh ditawarkan dalam kehidupan saya selepas ini.”

Cech menyertai Arsenal pada 2015 dan membuat 129 penampilan bersama Gunners selepas memenangi pelbagai trofi di Chelsea.

Dipancing dari kelab Perancis, Rennes oleh Claudio Ranieri pada 2004, Cech memenangi empat gelaran Liga Perdana, empat Piala FA, Liga Juara-Juara, Liga Europa dan tiga trofi Piala Liga bersama Blues.

Dia mengalami kecederaan kepala serius pada 2006 selepas berlaga dengan pemain Reading, Stephen Hunt.

Susulan pelanggaran kepala dengan lutut Hunt, tengkorak Cech retak tetapi dia kembali beraksi empat bulan kemudian sambil mengenakan pelindung kepala yang menjadi simbolnya ketika ini.

Cech muncul penjaga gol pertama mengharungi 200 perlawanan tanpa bolos dalam kempen Liga Perdana susulan kemenangan 3-0 Arsenal ke atas Watford musim lalu yang menyaksikannya menyelamatkan penalti Troy Deeney.

Susulan pengumuman itu, Arsenal menulis di Twitter: “Untuk sikap profesional yang anda tonjolkan, untuk menjadi pemain contoh yang sempurna, untuk 50 perlawanan tanpa bolos, untuk kejujuran anda, integriti anda dan juga inspirasi yang anda tunjukkan bersama @AFC_Foundation, kami mahu mengucapkan... Terima kasih @PetrCech!”

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 11:44pm
d