arena

MU lega benam Sai Gon

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Melaka United (MU) akhirnya melakar kemenangan pada aksi pramusim di Vietnam selepas menewaskan Sai Gon FC 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Ba Ria City, hari ini.

Dua gol kemenangan MU dicipta menerusi penyerang import baharunya dari Brazil Anselmo Casagrande  sekali gus melengkapkan tiga jaringannya sepanjang tiga perlawanan di negara terbabit.

Semalam, skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan tewas 1-3 kepada Ho Chi Minh City FC dengan jaringan  tunggal pelawat disempurnakan bekas pemain Perak, Nazrin Nawi.

Pada aksi pertama mereka di Ho Chi Minh, skuad Hang Tuah sekadar terikat 3-3 berdepan  Binh Duong FC  walaupun pada satu ketika mendahului selesa 3-1.

Kunjungan pramusim di Vietnam sejak 9 Januari lalu antara persediaan penting buat MU menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia musim ini.

Pengurus pasukan , Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, walaupun berpuas hati dengan peningkatan corak permainan namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki untuk memastikan cabaran agresif di pentas liga.

'Tahap persembahan  beberapa kalangan  pemain masih perlu dikemas terutama dalam membentuk persefahaman yang lebih jitu.

"Apapun, peluang yang diberikan jurulatih kepada semua pemain beraksi dalam tiga perlawanan itu sekurang-kurangnya memberi gambaran buat Zainal mengenal pasti kelebihan dan keistimewaan setiap daripada mereka," katanya.

Beliau berkata menjelang aksi liga skuad terbabit mengatur dua lagi pertemuan  termasuk berdepan MIFA dan Sarawak.

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 11:54pm
d