arena

VAR beri impak positif di La Liga

Oleh AFP

MADRID: Video bantuan pengadil (VAR) memberi impak positif pada musim pertama digunakan di La Liga walaupun berdepan kritikan berlaku baru-baru ini, menurut jurucakap Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Sepanyol, hari ini.

Teknologi video itu diperkenalkan dalam saingan liga elit di Sepanyol pada musim ini dengan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana akan menggunakannya pada musim 2019-2020.

Kontroversi berlaku dalam La Liga terutama sekali Real Madrid yang bersungut dengan keputusan yang tidak menyebelahi mereka.

Penalti Vinicius Junior dinafikan ketika tewas kepada Real Sociedad pada awal bulan ini sementara Madrid menyangka Sergio Canales berada di kedudukan ofsaid sebelum menjaringkan gol bagi Real Betis.

Dengan musim La Liga sudah  pun memasuki pertengahan musim, Jawatankuasa Teknikal Pengadil Persekutuan Bolasepak Sepanyol mengadakan sidang media untuk melakukan reviu tentang impak VAR setakat ini.

“Analisa kami menunjukkan ia memberi kesan positif ketika separuh pertama musim ini,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Carlos Velasco.

“Kami berpuas hati dengan prestasi pengadil dan kejayaan terhadap penggunaan VAR.”

Jurulatih Real Madrid, Santiago Solari pula mendakwa beliau tidak memahami proses VAR dan dalam sidang media berasingan mengatakan beliau keliru dengan ‘pertimbangan’ dalam pemilihan insiden untuk direviu.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 10:12am
d