arena

TLHT pasti 'berpeluh' layan Blue Warriors

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Iman Gobinathan tanpa berselindung mengakui anak buahnya berdepan laluan perit untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut apabila bakal membuat perhitungan dengan Blue Warriors-PDRM di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) petang esok.

Bekas pengendali pasukan Bangladesh musim lalu itu turut menyifatkan pertemuan dengan juara bertahan Piala Vivian Mays Soars itu adalah ujian sebenar pasukannya dalam misi merampas kembali gelaran juara berganda dua tahun lalu.

Beliau berkata, kehadiran sepuluh pemain skuad kebangsaan dan ditambah pemain berpengalaman dalam skuad itu sudah pasti memerlukan fokus yang lebih daripada pemain TLHT.

“Bertemu Blue Warriors sudah pasti tidak mudah buat pemain kami kerana mereka antara pencabar terkuat dalam saingan Liga Hoki Wanita musim ini.

“Atas kertas kedua-dua pasukan boleh dikatakan seimbang, namun pasukan lawan ada sedikit kelebihan kerana mereka ada pengalaman kerana pernah menang liga.

“Tapi pasukan yang banyak melakukan kesilapan pasti akan kecewa. Oleh itu, saya mengarahkan pemain saya mengawal rapi pihak lawan, melakukan hantaran tepat dan mampu bertahan serta menyerang dengan lebih baik.

“Selain itu saya juga turut menekankan pukulan sudut penalti dan peranan yang perlu dilakukan pemain lain kerana situasi itu bakal menentukan kemenangan dan kekalahan sesebuah pasukan,” kata Iman.

Pada aksi Isnin lalu bertemu PSHA-MSSPP (Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang), skuad TLHT menang besar 13-0.

Dalam aksi pertama, TLHT juga berpesta gol 5-0 menundukkan SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail).

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 12:31pm
d