arena

'Usia bukan faktor utama'

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak menegaskan faktor usia sama sekali tidak akan diambil kira dalam pertimbangan untuk memilih pemain terbaik bagi mewakili skuad kendaliannya.

Jelas jurulatih dari Croatia itu, sekalipun pemain itu berusia 16 atau 17 tahun, dia tetap berpeluang untuk membarisi skuad B-19 sekiranya menepati kriteria dan dapat membuktikan kemampuan sebagai pemain terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih.

“Bola sepak sebenarnya mudah kerana jika anda memang sudah bagus, tanpa mengira umur sekalipun anda akan mendapat peluang mewakili negara. Jadi mereka perlulah menunjukkan persembahan terbaik.

“Bagi pemain muda yang tidak memiliki kekuatan fizikal, mereka perlu bijak untuk menggunakan teknik atau kelajuan yang dimiliki. Siapa yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat, merekalah yang akan berada dalam pasukan,” kata Hodak.

Dalam perkembangan sama, dua pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) nyata mencuri tumpuan pada sesi latihan skuad B-19 yang bermula di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Dua pemain itu yang beraksi pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan adalah kelompok pertama pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan minggu ini.

Mengulas mengenai situasi itu, Hodak mengakui seramai 10 pemain daripada program itu berada dalam senarai untuk dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan namun hanya dua yang dipanggil minggu ini selepas beberapa faktor diambil kira.

“Kami tidak boleh memanggil semua pemain kerana skuad ini tidak boleh dibarisi terlalu ramai pemain dengan kelompok usia 17 tahun ke bawah. Selepas dua pemain dipanggil minggu ini, ada empat atau lima lagi yang akan dipanggil minggu depan.

“Semua pemain ini dinilai selepas kami menyaksikan persembahan mereka pada Kejuaraan B-16 AFC tahun lalu. Namun mereka juga sama dengan pemain lain yang mana mereka tetap perlu memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 3:35pm
d