arena

Impian Farhan jadi kenyataan

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Umpama mimpi menjadi nyata. Itu yang dialami Muhamad Farhan Zain yang terpilih untuk beraksi bersama pasukan utama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.

Penyerang berusia 19 tahun itu asalnya hanya pelajar di UniKL yang mengambil jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan.

Namun ketua jurulatih, Arul Selvaraj menghidu bakatnya sebelum memanggilnya untuk menyertai pasukan utama UniKL sekali gus beraksi bersama pemain berstatus bintang.

“Secara jujur saya sendiri tak pernah menyangka dapat beraksi bersama UniKL sebab saya tahu bukan mudah untuk berada dalam pasukan ini.

“Segala-galanya bermula tahun lalu ketika majlis perasmian Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

“Saya diminta beraksi dengan pasukan utama UniKL yang ketika itu tidak cukup pemain bagi perlawanan persahabatan menentang UniKL yang memenangi kejuaraan Liga Hoki Remaja pada 2010.

“Dari situ jurulatih dapat melihat bakat saya dan kemudian memanggil saya untuk menyertai latihan bersama skuad utama,” katanya.

Ditanya perasaannya beraksi bersama pemain ternama seperti kapten skuad kebangsaan, Sukri Mutalib serta bintang import Robbert Kemperman dan Martijn Peter Havenga, Farhan nyata cukup teruja.

“Bagi saya pengalaman beraksi dengan pemain bintang ini terlalu berharga. Sudah pasti ia akan menjadi kenangan manis buat saya selama-lamanya.

“Saya akan cuba membalas kepercayaan jurulatih terhadap saya dengan beraksi cemerlang dalam saingan liga,” katanya.

UniKL akan turun pada perlawanan ketiga liga bertemu TNB, Jumaat ini di Stadium Tengku Abdullah.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 6:35pm
d