arena

Federer, Wozniacki mara

MELBOURNE: Jaguh tenis dunia, Roger Federer melengkapkan satu lagi pencapaian bermakna apabila melangkah ke pusingan ketiga Terbuka Australia buat tahun ke-20 berturut-turut sekali gus berada dalam landasan tepat untuk memenangi gelaran itu buat kali ketujuh.

Juara bertahan perseorangan wanita Caroline Wozniacki turut melepasi halangan pusingan kedua, namun tidak bagi pemain Afrika Selatan, Kevin Andersen yang menyaksikan perjalanannya berakhir di tangan pemain muda Amerika Syarikat, Frances Tiafoe.

Federer mungkin sudah berusia 37 tahun tetapi dia masih belum menunjukkan tanda dimamah usia dengan menjadikan pemain Britain, Dan Evans sebagai mangsa terbarunya hari ini.

Dia mudah menewaskan Evans di Wimbledon tahun lalu, namun berdepan cabaran lebih sukar kali ini sebelum menjinakkan lawannya 7-6 (7/5), 7-6 (7/3), 6-3 di Arena Rod Laver.

“Saya fikir kalau saya boleh tamatkan aksi lebih awal perlawanan ini mungkin tidak selama ini,” kata Federer. “Dia beraksi dengan baik dan sepatutnya menerima pujian.”

Bintang Switzerland itu setakat ini berkongsi pencapaian sama dengan pemenang enam kali Novak Djokovic dan Roy Emerson di Terbuka Australia – walaupun kejuaraan Emerson semuanya diraih sebelum era tenis moden.

Federer akan berdepan pemenang antara pemain Perancis, Gael Monfils atau pemain AS, Taylor Fritz.

Jika dia menjuarai edisi kali ini, ia bermakna Federer akan muncul selaku pemain pertama menyambar tujuh gelaran di sini atau menghimpun koleksi kemenangan terbanyak dua Grand Slam selepas sudah menjulang lapan gelaran Wimbledon.

Anderson, yang tewas kepada Djokovic pada final Wimbledon tahun lalu, gagal menyekat Tiafoe yang menang 4-6, 6-4, 6-4, 7-5.

Wozniacki pula mudah melepasi halangan pemain Sweden, Johanna Larsson 6-1, 6-3 ketika dia berusaha muncul pemain wanita pertama mempertahankan kejuaraan sejak Victoria Azarenka pada 2013. - AFP

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 7:08pm
d