arena

City serba lengkap

Oleh AFP

LONDON: Perancang tengah Bernardo Silva menyatakan Manchester City menghampiri kekuatan penuh tepat pada masanya dalam misi mencabar empat kejuaraan musim ini.

Kevin De Bruyne dan Benjamin Mendy terlepas sebahagian besar kempen musim ini kerana kecederaan manakala David Silva, Fernandinho, Sergio Aguero dan Ilkay Gundogan turut tersisih, baru-baru ini.

Namun penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu menghampiri kekuatan penuh dengan Mendy menjadi satu-satunya pemain tonggak yang terpaksa diketepikan susulan kecederaan dan mereka berharap dia akan kembali beraksi hujung bulan ini.

City membuktikan kekuatan yang dimiliki mereka dengan meletakkan De Bruyne, Aguero dan Riyad Mahrez di bangku simpanan ketika perlawanan menentang Wolves, Isnin lalu dan masih menang 3-0.

“Rasanya kami memiliki keseluruhan skuad, ia penting bagi kami kerana kami memerlukan mereka,” kata Bernardo. “Cukup bagus untuk kembali bersama semula.

“Sudah tentu hingga kini masih ramai pemain kami yang mengalami kecederaan, kami tidak pernah bermain dengan keseluruhan skuad. Untuk memperoleh hampir keseluruhan skuad adalah menakjubkan dan ia cukup bagus untuk kami mencabar semua pertandingan.”

Bernardo, 24, menegaskan dia tidak berdepan masalah untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan.

“Itu yang berlaku apabila anda bermain dengan salah satu pasukan terbaik dunia. Anda memiliki pemain yang menakjubkan di posisi anda, jadi anda perlu bekerja keras untuk cuba dan bermain sebanyak mungkin.”

“Ia perkara yang bagus. Ia bermakna anda memiliki skuad yang bagus. Setiap orang sentiasa memberi tekanan terhadap rakan sepasukan jadi anda perlu bekerja keras untuk berada dalam pasukan utama.”

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 9:13pm
d