arena

Sharapova jumpa Wozniacki

Oleh AFP

MELBOURNE: Prestasi cemerlang pemenang lima kali gelaran Grand Slam, Maria Sharapova berterusan apabila mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia sekali gus menempah aksi menarik bertemu penyandang juara, Caroline Wozniacki.

Sharapova, yang diletakkan pilihan ke-30 kejohanan dan berharap dapat mengembalikan kegemilangannya selepas dipalit skandal dadah pada 2017 mudah menyingkirkan pemain Sweden, Rebecca Peterson 6-2, 6-1.

Pemain berusia 31 tahun itu hanya melepaskan tiga perlawanan untuk mara ke pusingan tiga di Melbourne Park, lokasi dia meraih kejuaraan pada 2008 dan mara ke final sebanyak tiga kali.

“Saya amat gembira dengan persembahan saya hari ini dan jelas sentiasa hebat untuk kembali ke gelanggang ini,” kata jelitawan dari Russia itu. “Secara keseluruhan, saya fikir saya mengharungi permainan yang bagus.”

Perlawanan yang berlangsung di Rod Laver Arena itu sedikit terlewat daripada yang dijadualkan berikutan aksi panjang kategori lelaki.

Pada pusingan pertama, Sharapova meraih kemenangan 6-0, 6-0 yang digelar ‘double bagel’ ke atas Harriet Dart tetapi Peterson yang menghuni ranking 64 dunia jelas lawan yang lebih agresif dan sukar.

Sebagai rekod, Sharapova dan pilihan ketiga kejohanan Wozniacki sudah bertemu sebanyak 10 kali dengan rekod memihak pemain Russia itu 6-4.

Begitupun, pertembungan terakhir mereka adalah pada 2015 di mana Sharapova berada di puncak prestasi manakala pemain Denmark itu masih belum memenangi sebarang gelaran Grand Slam.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 11:31pm
d