arena

Taktikal Henry, Vieira sama mantap

Oleh Reuters

PARIS: Monaco kendalian Thierry Henry meneruskan deretan tanpa kemenangan dalam Ligue 1 kepada empat perlawanan apabila seri 1-1 menentang Nice yang dibimbing Patrick Vieira, dengan kedua-dua bekas bintang Arsenal itu tampil sebagai ‘musuh’ di tepi padang.

Bekas pemain Perancis, Henry dan Vieira beraksi bersama dalam 313 perlawanan di Arsenal, di bawah bekas pengendali kelab Liga Perdana Inggeris itu Arsene Wenger, dan bersama Les Bleus tetapi setiakawan mereka diketepikan dalam usaha Monaco memburu kemenangan liga pertama sejak 4 Disember.

Keputusan itu mengekalkan Monaco di tangga kedua tercorot dengan 15 mata daripada 20 perlawanan manakala Nice yang bermain 10 orang di babak kedua berikutan kad merah Ihsan Sacko, kekal di tangga keenam dengan 30 mata.

“Ia terasa pelik,” kata Henry berkenaan kawan lamanya itu. “Kami bermain bersama untuk tempoh lama dan kami keluar dari bilik persalinan bersama-sama. Kami sempat bercakap tetapi masing-masing fokus kepada permainan.”

Anak buah Henry bergelut untuk melonjak keluar dari zon penyingkiran Ligue 1 dan berada tiga mata di bawah garis selamat selepas gagal merakam sebarang kemenangan musim ini.

“Satu mata tidak mencukupi, tetapi kami juga mungkin terpaksa bercakap tentang kekalahan di sini,” katanya.

“Thierry boleh berpuas hati, tetapi seri adalah keputusan yang sepatutnya,” kata Vieira yang mengambil alih kelab Perancis itu tahun lalu selepas meninggalkan New York City FC.

Sementara itu Nice yang hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan liga mungkin akan menyesal kerana tercicir dua mata daripada perlawanan itu.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 7:47am
d