arena

Atletico gigit jari

Oleh AFP

MADRID: Antoine Griezmann menjaringkan satu gol dan menjadi perancang satu lagi jaringan tetapi tidak cukup untuk menghalang Atletico Madrid tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol dengan Girona mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri 3-3.

Real Madrid dan Sevilla masing-masing tewas pada aksi awal pagi tadi, tetapi kemenangan pada perlawanan pertama sudah memadai untuk menafikan kejutan daripada Leganes dan Athletic Bilbao.

Kekalahan Real itu menyaksikan skuad kendalian Santiago Solari hanya menang dua daripada lima perlawanan mereka tahun ini.

Bagi Atletico, Griezmann masuk sebagai pemain gantian di babak kedua untuk mengubah rentak permainan, mengumpan bola untuk jaringan Angel Correa dan kemudian dia sendiri menjaringkan gol untuk meletakkan pasukannya 3-2 pada aksi di Wanda Metropolitano itu.

Tetapi Girona memastikan slot ke suku akhir milik mereka apabila rembatan Seydou Doumbia menemui sasaran pada minit ke-88, mara dengan keputusan agregat 4-4 selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama.

“Kami fikir Griezmann boleh direhatkan dan hanya memasukkannya di babak kedua untuk melakukan apa yang dia lakukan, menjaringkan gol untuk 3-2 dan saya tak jangka Girona akan menjaringkan gol lagi,” kata pengendali Atletico Diego Simeone.

“Ia permainan yang menarik, pertembungan klasik di mana kami sentiasa mahukan kemenangan.

“Kami mendapat gol awal dan seharusnya menambah jaringan tetapi Girona memanfaatkan peluang mereka. Ada masa anda bermain dengan baik tetapi tidak layak, tetapi saya lebih gemar bermain dengan buruk tetapi layak ke pusingan seterusnya.”

 

 

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 8:41am
d