arena

Ronaldo 'buktikan beliau mahal'

Oleh AFP

JEDDAH, Arab Saudi: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memberikan Juventus trofi pertama mereka musim ini dengan kemenangan 1-0 ke atas AC Milan dalam saingan Piala Super Itali di Arab Saudi.

Ronaldo ditandatangani kelab gergasi Itali itu tahun lalu dari Real Madrid dalam usaha memburu gelaran Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak tahun 1996  menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-61.

AC Milan terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 17 minit terakhir selepas pemain tengah Ivory Coast Franck Kessie dilayangkan kad merah kerana mengasari Emre Can.

“Saya meraih gelaran pertama bersama Juventus, jadi saya amat gembira,” kata Ronaldo yang kini memiliki 28 trofi termasuk lima Liga Juara-Juara dan kejuaraan liga dari England, Sepanyol serta Kejuaraan Eropah bersama Portugal.

“Saya benar-benar mahukan ini, bagi memulakan tahun ini dengan baik. Ini hanya permulaan, kami akan mengambil satu langkah pada satu-satu masa.

“Kami sudah mendapat piala ini, kini kami mesti terus bekerja keras untuk menjulang trofi seterusnya.”

Juventus kini mencatat kejuaraan terbanyak Piala Super Itali dengan lapan gelaran, satu melebihi AC Milan.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 9:56am
d