arena

Spurs ada 'plan b'

Oleh Reuters

LONDON: Kecederaan buku lali penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane yang menyebabkan beliau terpaksa diketepikan sehingga Mac adalah sukar diterima tetapi ia tidak menjejaskan perancangan jendela perpindahan kelab Januari ini, kata pengurus Mauricio Pochettino kepada Sky Sports hari ini.

Kane mengalami kecederaan ligamen buku lali kirinya ketika tewas 1-0 kepada Manchester United di Wembley pada Ahad lalu apabila bertembung dengan Victor Lindelof dan Phil Jones.

Tottenham sudah pun kehilangan penyerang Korea Selatan, Son Heung-min bagi mewakili negaranya untuk Piala Asia yang berlangsung sehingga 1 Februari ini.

Tetapi pemain tengah dari Perancis,  Moussa Sissoko yang mengalami kecederaan pangkal paha sejurus sebelum babak pertama perlawanan bertemu United, dikatakan kembali cergas bagi menghadapi perlawanan timbal balik kedua separuh akhir Piala Liga di Chelsea pada Khamis hadapan.

Spurs sebelum ini menang 1-0 dalam perlawanan pertama di Wembley.

Pochettino berkata adalah sukar untuk bermain tanpa salah seorang penyerang terbaik dunia untuk tempoh enam minggu lagi tetapi pada masa sama memberi peluang kepada pemain di akademi bola sepak mereka.

“Ia tidak mengubah apa-apa (pendekatan kelab dalam jendela perpindahan Januari) terhadap apa yang berlaku kepada Harry,” katanya.

“Son seperti kita tahu menyertai Piala Asia untuk beberapa minggu. Kami sentiasa mahu membaiki diri sama walaupun tanpa Harry tetapi kami tahu ia adalah sukar apatah lagi untuk menambah pemain yang diingini.

“Ia tidak mengubah pemikiran kami, saya rasa ini adalah peluang yang bagus buat pemain untuk dapat bermain lebih kerap dan menonjolkan diri. Saya pasti ia menjadi peluang baik buat pemain muda di akademi untuk mempamerkan kualiti yang ada.”

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:39am
d