arena

Maria anggap Caroline lawan sukar

Oleh AFP

MELBOURNE: Maria Sharapova menganggap dirinya sebagai bukan pilihan apabila berdepan juara bertahan Terbuka Australia, Caroline Wozniacki pada pusingan ketiga, walaupun dia memegang lima gelaran Grand Slam berbanding satu oleh pemain Denmark itu.

Maria bergelut kembali ke prestasi sebenarnya sejak kembali daripada penggantungan pada 2017 dan diletakkan sebagai pilihan ke-30 dalam kejohanan itu, manakala Caroline di ranking ketiga selepas merangkul gelaran ‘major’ pertamanya di Melbourne Park tahun lalu.

Namun pemain 31 tahun dari Russia itu mula menampakkan kehebatannya pada kejohanan tahun ini apabila hanya tercicir tiga permainan dalam dua pusingan pertama.

Ketika ditanya siapa pilihan untuk menang pada perlawanan esok Maria mengakui dia hadir sebagai lawan underdog.

“Di atas kertas, jika anda melihat kepada angka, ya, sudah tentu,” kata Maria.

“Dia adalah pemain nombor tiga dunia. Maksud saya, ia menggambarkan prestasi permainannya, keyakinan, dan semua aspek.

“Dia suka bermain di sini, apa saja tentang kejohanan ini. Sudah pasti perlawanan sukar menanti saya.”

Maria dan Caroline pernah bertembung 10 kali dengan rekod 6-4 berpihak kepada bintang Russia itu.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 12:34pm
d