arena

Trio import UniKL janji gegar

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Trio import UniKL dari Belanda - Robbert Kemperman, Valentin Verga dan Martijn Havenga - sudah bersedia sepenuhnya untuk turun menentang Tenaga Nasional Berhad pada aksi Liga Hoki Malaysia di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, esok.

Ia selepas tiga pemain import itu bersama David Harte dari Ireland dan pemain Australia, Kieran Govers terpaksa beraksi dalam keadaan kepenatan pada awal kempen liga, minggu lalu kerana baru saja tiba di tanah air.

“Kami kini semakin menyesuaikan diri dan lebih bersedia,” kata Kemperman pada sesi latihan yang terjejas berikutan hujan lebat di Bangi semalam.

“Sewaktu bertemu UiTM Ahad lalu kami berasa kepenatan menaiki penerbangan dengan mengharungi perjalanan panjang. Bagaimanapun kami tetap menikmati aksi itu dan memenanginya.

“Saya kini tidak sabar bertemu TNB dengan keadaan fizikal kami lebih baik,” kata Kemperman, 28, yang menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas UiTM sebagai aksi pemanas badan yang baik baginya merasai suasana sebenar perlawanan di negara ini.

Kemperman dan Verga memainkan peranan penting ketika Belanda meraih tempat ketiga pada Piala Dunia 2018 di India manakala Havenga adalah pelatih skuad kebangsaan.

“Saya difahamkan TNB pasukan yang kuat terdiri daripada pemain kebangsaan. Tapi kami perlu kekal merendah diri dan fokus,” kata Kemperman.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 4:13pm
d