arena

FELDA pertaruh 4 import

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: FELDA United yang kembali ke Liga Super hanya menyenaraikan empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil yang mengesahkan perkara itu percaya mereka masih mampu memberikan tentangan biarpun tidak memenuhi kuota lima import.

“Saya sahkan FELDA United hanya menyenaraikan empat pemain import musim ini.

“Setakat ini, khidmat Thiago Aquino yang beraksi bersama pasukan musim lalu dikekalkan manakala baki tiga import akan diumumkan kemudian.

“Saya percaya pemain tempatan dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka biarpun ada dalam kalangan mereka baru kali pertama beraksi di Liga Super,” katanya.

Difahamkan, The Fighters akan menyenaraikan seorang pemain Asia dan dua pemain dari Amerika Selatan.

Namun, kehadiran penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali serta pemain senior seperti Christie Jayaseelan diyakini membantu memperkasakan pasukan.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 4:21pm
d