arena

Padah keluar kenyataan 'pedas'

Oleh Jugjet Singh

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM) bertemu pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan ‘pedasnya’ kepada media dan berdepan tindakan selanjutnya oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Ia bermakna masalah besar menantinya, berbanding hukuman penggantungan beberapa perlawanan oleh Jawatankuasa Teknikal, Arul kini berdepan hukuman lebih berat apabila kes beliau dibawa ke pengetahuan Lembaga Disiplin MHC.

Malah, difahamkan ia mungkin menyaksikan bekas pengendali sementara skuad kebangsaan itu boleh menerima hukuman penggantungan lebih daripada setahun.

Sebelum sempat kes Arul diselesaikan, Jawatankusa Teknikal juga dijangka akan mengeluarkan satu lagi surat kepada pemain Nur Insafi, Jiwa Mohan yang didapati turut melanggar kod etika pertandingan.

Ia susulan pandangan Jiwa berhubung kejatuhan drastik jumlah pasukan yang mengambil bahagian dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

“Selepas mendengar penjelasan yang dikemukakan Arul Selvaraj, Jawatankuasa Teknikal LHM memutuskan untuk merujuk kesnya kepada MHC yang mungkin kemudiannya akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin badan induk itu,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Jusvir Singh.

Sementara itu, Arul berpeluang mempertahankan dirinya dan menjelaskan semula kenyataannya itu.

“Pertama sekali saya tidak bertanggungjawab atas tajuk akhbar yang berada di luar kawalan saya. Tapi jika saya ada mengatakan sesuatu yang bercanggah dengan kod etika pertandingan saya memohon maaf.

“Saya hanya bercakap mengenai kebimbangan saya terhadap LHM, yang mana pandangan ini dikongsi ramai. Tapi mungkin saya menggunakan saluran yang tidak betul dan pada masa yang tidak sesuai ketika pertandingan sedang berlangsung.

“Mungkin pada masa depan saya akan bercakap kepada pihak yang sepatutnya atau mengeluarkan kenyataan sebegitu selepas liga berakhir,” kata Arul.

Terdahulu, menerusi pendedahan Sukan NSTP minggu lalu Arul menjangkakan LHM yang kini semakin suram penyertaan boleh ‘tutup kedai’ satu hari nanti andai tiada suntikan elemen baharu yang menggamit minat penyertaan lebih banyak pasukan.

Malah beliau turut meramalkan mungkin liga utama negara itu akan turut hilang seri jika tiada perancangan rapi dilakukan MHC bagi merancakkan lagi kemeriahan liga kompetitif itu termasuk kekurangan pemain berkualiti suatu hari nanti.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 8:57pm
d