arena

Kasma sertai Adam di Moto2 CEV

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Kasma Daniel Kasmayudin diumumkan sebagai pelumba negara yang akan beraksi pada Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) namun juara kelas CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2017 itu akan diletakkan bersama pasukan dari Jerman, IntactGP.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali dengan menyatakan prestasi Kasma bersama pasukan itu akan dipantau oleh bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin.

Situasi Kasma itu melengkapkan penyertaan bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin di CEV dalam kelas Moto2 musim ini di samping dua lagi pelumba dalam kategori Moto3 remaja dunia, Izam Muhammad Izam Ikmal dan Muhammad Idilfitri Mahadi.

Selain itu, SIC juga mengumumkan penyertaan baharu mereka dalam perlumbaan sokongan di CEV, European Talent Cup (ETC) dengan disertai dua muka tempatan - yang juga dari program ‘Impian ke MotoGP’ - Harith Haziq Zamri dan Mohd Danial Syami Ahmad Shahril.

“Kami sudah mengikat Kasma untuk Moto2 CEV tahun ini bersama Adam tapi dia (Kasma) diletakkan di pasukan ‘kawan baik’ kami, IntactGP dari Jerman.

“Prinsipal pasukan itu kami sudah kenal sejak dulu lagi iaitu ketika beliau menjadi jurutera Zulfahmi di Moto3. Kami fikir lebih baik meletakkan Kasma bersama pasukan rakan di Eropah.

“Apabila Adam pulih (daripada pembedahan bahu), dia akan bersama pasukan kami. Kami sudah menyenaraikan Kasma untuk beraksi di Moto2 CEV dan kami akan sambung Izam dan Idil di Moto3 CEV yang juga tahun kedua mereka di sana.

“Ada juga penyertaan baharu iaitu di ETC, satu acara perlumbaan sokongan untuk CEV. Haziq dan Danial Syahmi, itupun sekiranya dia dapat pulih sepenuhnya (daripada kecederaan dan pembedahan kaki).

“Ini satu program baharu, daripada pengalaman tahun lalu, kami dapat lihat pelumba yang belum sampai ke sesuatu tahap, kami akan letakkan mereka di ETC dulu (buat masa ini).

“Satu atau dua tahun tapi kami jangka dalam tempoh setahun mereka dapat sesuaikan diri dengan cuaca dan persaingan di sana sebelum (melonjak) ke Moto3 CEV,” kata Razlan ketika dihubungi.

Selain berlumba di Moto2 CEV, Kasma dan Adam turut beraksi pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 9:51pm
d