arena

'Terima kasih BAM, Paulus'

Oleh Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong enggan dilabel sebagai kacang lupakan kulit.

Sebaliknya, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu menegaskan pujian juga wajar diberikan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM)  khususnya ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Paulus  Firman terhadap apa yang dicapai mereka dalam tempoh dua minggu ini.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Masters Thailand, Ahad lalu, V Shem-Wee Kiong yang meninggalkam BAM awal bulan ini meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir Masters Malaysia, hari ini.

Kali ini, mereka berjaya menghapuskan badi kekalahan di tangan bekas beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan apabila menang 21-19, 24-22 dalam aksi pusingan kedua.

Sebelum ini, beregu lelaki nombor satu negara itu tewas semua empat perlawanan di tangan Ahsan-Hendra.

“Memang gembira dengan kemenangan ini kerana kami tidak pernah menang menentang mereka sebelum ini. Lebih manis, kami menang di tempat sendiri.

“Namun, kami perlu katakan, apa yang kami capai hari ini bukan semata-mata disebabkan kami, kami tidak boleh beri kredit kepada diri sendiri saja. Sebaliknya, jurulatih Paulus sudah banyak membantu ketika kami dalam BAM.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada Lee Wan Wah dan Chew Choong Eng (jurulatih sementara) kerana turut membantu kami di sini terutama selepas kami keluar daripada BAM,” kata Wee Kiong ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

V Shem-Wee Kiong yang juga finalis tahun lalu akan bertemu pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

“Kami harap kami boleh terus konsisten dan sekali lagi mara ke final. Namun, bukan mudah bertemu beregu Jepun itu, tetapi kami akan berikan yang terbaik,” kata V Shem.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 10:17pm
d