arena

Emery tuntut Ozil konsisten

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Arsenal Unai Emery enggan terus meminggirkan Mesut Ozil bulan ini tetapi beliau mahukan pemain Jerman itu kembali konsisten apabila diberikan peluang beraksi di atas padang.

Ozil tidak tersenarai ketika Arsenal tewas 1-0 kepada West Ham minggu lalu walaupun menjalani latihan penuh selepas kembali pulih daripada kecederaan lutut.

Bagaimanapun, Emery berkata pemenang Piala Dunia 2014 itu mungkin kembali beraksi menentang Chelsea esok dalam aksi penting untuk menduduki kelompok empat teratas liga.

"Saya bercakap dengan dia kerana saya mahukan konsistensi. Dia mengalami kecederaan yang bermakna ada kalanya dia ‘ok’ dan tidak ‘ok’," kata Emery.

"Saya mahu setiap pemain memberikan komitmen sama setiap hari untuk sentiasa ‘ok’ setiap perlawanan. Mesut juga perlu menghadapinya. Dia tidak beraksi dalam perlawanan terakhir tetapi bagi saya dia sama sahaja dengan pemain lain. Esok dia boleh bersama kami jika dia ‘ok’.”

Ozil mempamerkan fotonya menjalani latihan di Twitternya yang mempunyai 24 juta ‘followers’ minggu ini bagi menunjukkan dia cergas untuk disenarai dalam skuad

Walaupun terdapat laporan Arsenal mungkin mengurangkan gaji Ozil, Emery menegaskan pemain itu masih diperlukan dalam perancangannya.

"Saya mencari jalan bagaimana dia boleh membantu kami tahun ini dengan prestasi terbaik,” kata pengurus dari Sepanyol itu.

"Dia cedera sebelum ini dan tidak cergas untuk beraksi tetapi selepas dua minggu, dia mungkin ‘ok’ untuk perlawanan esok.”

Berdasarkan kemelut kewangan Arsenal, slot kelayakan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tiga musim lebih penting buat mereka.

Skuad Emery kini di tangga kelima liga, sama mata dengan Manchester United tetapi boleh merapatkan jurang dengan Chelsea jika mereka menang di Emirates.

"Saya fikir esok adalah ujian besar dan sasaran kami empat teratas. Kemenangan membolehkan kami hampir dengan mereka ,” kata Emery.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 8:03am
d