arena

Padah herdik pengadil

Oleh AFP

Milan: Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso digantung satu perlawanan selepas melakukan kesalahan menyerang pengadil ketika pasukannya tewas di final Piala Super Itali kepada Juventus di Arab Saudi, kelmarin.

Gattuso, 41, mengejar dan memarahi pengadil bertugas kerana tidak memberikan sepakan penalti di atas kekasaran dilakukan pemain tengah Juventus dari Jerman, Emre Can kepada Andrea Conti ketika pasukannya tewas 0-1 di Jeddah.

The Lega Serie A semalam menggantung bekas pemain AC Milan dan Itali itu dan dikenakan denda AS$17,000 (RM69,920).

Gattuso dihukum kerana menjerit kepada pengadil dengan cara mengancam dan mencabar keputusan dan mengulangi perbuatan itu ketika majlis penyampaian hadiah dengan melontarkan kata-kata kesat kepada pengadil."

Doktor kelab AC Milan, Mario Brozzi turut digantung sehingga 4 Februari kerana melakukan 'penghinaan serius, mengeluarkan kata-kata menyinggung dengan cara angkuh kepada salah seorang pemainnya," yang mana pengadil Luca Banti memaklumkan perkara itu dalam laporan perlawanan.

Penggantungan itu menyaksikan Gattuso akan terlepas peluang untuk bersama Milan dalam saingan Serie A ke Genoa Isnin ini selepas saingan liga Itali berehat selama tiga minggu.

Pemain tengah AC Milan, Franck Kessie turut terlepas peluang beraksi apabila menerima kad merah selepas pengadil meneliti tayangan VAR, bersama rakan pasukan Alessio Romagnoli dan Davide Calabria yang turut menerima kad kuning.

Pemain Juventus Miralem Pjanic turut digantung dan tidak akan bersama apabila menerima kunjungan Chievo.

 

 

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 9:16am
d