arena

Ashleigh galas impian Australia

Oleh Reuters

MELBOURNE: Ashleigh Barty menewaskan pemain Greece Maria Sakkari 7-5, 6-1 untuk mara ke pusingan keempat Terbuka Australia hari ini sekali gus menggembirakan penyokong tuan rumah yang mahu menyaksikan kemarau kejuaraan di tempat sendiri berakhir.

Australia kurang menyinar dalam kejohanan itu walaupun melahirkan beberapa jaguh Grand Slam seperti Samantha Stosur, Lleyton Hewitt dan Pat Rafter sejak era 1990-an.

Tiada pemain lelaki atau wanita Australia yang menjuarai acara perseorangan Grand Slam di tempat sendiri sejak 1970-an. Pemain terakhir wanita yang mara ke final ialah Wendy Turnbull pada 1980, manakala Hewitt tewas kepada pemain Russia, Marat Safin pada 2005.

Pilihan ke-15, Ashleigh tiba di Melbourne selepas tamat sesi pemanas badan di Kejohanan Antarabangsa Sydney yang menyaksikan dia menewaskan pemain nombor satu dunia, Simona Halep dan tampak tiada masalah pada aksi Grand Slam pertama tahun ini.

Pemain berusia 22 tahun itu menguasai perlawanan dan belum tewas walau satu set setakat ini.

Beraksi di gelanggang berbumbung di Rod Laver Arena, Ashleigh dua kali mematahkan servis Maria dalam setiap set untuk meraih kemenangan dalam tempoh satu jam 22 minit sekali gus menyamai pencapaian terbaik di Terbuka AS pada 2018.

"Anda pelu memberi peluang kepada diri sendiri untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya kepada wartawan. “Saya semakin selesa di atas gelanggang dan beraksi dengan corak permainan sendiri dan terbukti berkesan ketika menentang pemain terbaik dunia.”

Ashleigh akan menentang Caroline Wozniacki atau Maria Sharapova, dua bekas pemain nombor satu dunia di pusingan seterusnya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 3:28pm
d