arena

FELDA jamin tiada isu gaji lagi

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: FELDA United FC (FUFC) komited mahu menyelesaikan tunggakan gaji pemain skuad juara Liga Perdana musim lalu dalam tempoh dua bulan akan datang.

Jaminan itu diluahkan oleh Presiden FUFC, Anuar Malek yang berjaya menyelesaikan tunggakan sebulan gaji minggu lalu dan dibayar terus ke dalam akaun pemain dan jurulatih.

“Sebahagian daripadanya kami dah selesaikan dan seperti saya katakan, kami perlukan sedikit masa lagi kerana saya masih baharu 11 hari (dilantik Presiden FUFC) berada dalam situasi ini.

“Anda kena bayangkan bagaimana dalam tempoh 11 hari itu kami perlu menyelesaikan segala perkara yang tertangguh dan tertunggak. Saya yakin atas persepakatan yang ada semua pihak membantu bersama dengan pandangan dan kaedah, kami boleh selesaikan semuanya.

“Kami akan cuba selesaikan masalah berbangkit ini dalam tempoh dua bulan akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pemain import FELDA United dan sesi perjumpaan presiden bersama staf kejurulatihan di Bangi, hari ini.

Terdahulu, menerusi laporan Sukan NSTP, bekas pengendali skuad The Fighters musim lalu, B Sathianathan meluahkan rasa tidak puas hati apabila FELDA United gagal melunaskan tunggakan gaji tiga bulan bermula September hingga November.

Malah, bekas pengendali kebangsaan itu turut mendedahkan FELDA juga gagal memotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lima bulan dari Julai hingga November selain gagal menjelaskan bonus kejuaraan Liga Perdana yang dimenangi musim lalu.

Anuar yang juga Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA turut kecewa dengan kenyataan melulu Sathianathan apabila menuduh FELDA United membelakangkannya dalam soal pembayaran gaji tertunggak itu.

“Sebenarnya FUFC sudah melakukan perbincangan bersama pemain dan pertemuan dilakukan tanpa beliau kerana beliau ketika itu berada di luar negara.

“Kalau dikatakan tidak ada sebarang perbincangan dilakukan dengan beliau, itu satu perkara yang mungkin perlu diperbetulkan segera.

“Pengurusan khususnya Setiausaha Agung sudah melakukan perbincangan dan maklumkan perkara itu,” katanya yang turut berharap pengendali baharu FELDA United, Nizam Jamil dapat meneruskan kecemerlangan pasukan dalam Liga Super musim ini.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 4:01pm
d