arena

Jujur la sikit

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANGAR: Seramai 18 pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL2) meminta Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berlaku jujur dalam mengeluarkan kenyataan susulan sidang medianya di ibu negara semalam.

Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, berkata kenyataan Ahmad Amizal bahawa empat penaja dikatakan lari daripada mahu membantu pasukan itu juga terlalu 'samar' dan mustahil.

Katanya, tidak mungkin hanya kerana PNL2 berpangkalan di Perlis, pihak penaja akan lari daripada persetujuan mereka untuk menaja kerana mereka lebih arif dalam mengendalikan situasi sebegini.

"Setidak-tidaknya akan ada seorang wakil daripada pihak penaja berpangkalan di Perlis dalam 'memantau' latihan dan pengurusan pasukan, mustahil penaja tidak arif dalam perkara sebegini.

"Sepanjang karier saya dalam sukan bola sepak, selalunya penaja akan bersetuju dan menandatangani kontrak untuk menaja pasukan selewatnya sebulan dari liga bermula atau pada pramusim."

“Persoalannya, betulkah ada empat penaja yang mahu taja Perlis? Atau sekadar gimik saja? Dalam keadaan Perlis sebegini (dilanda hutang) sejak bertahun-tahun, saya kurang yakin dan berharap pihak berkenaan tampil serta perjelaskan keadaan sebenar bukannya sekadar cakap sahaja," katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan dalam sidang media PFA semalam, Ahmad Amizal mendakwa empat penaja utama sudah mengesahkan menarik diri daripada menaja Singa Utara berikutan kemelut yang melanda pasukan itu baru-baru ini.

Ahmad Amizal mendakwa, kantung PFA juga kosong dan pasukan itu bergelut untuk mengharungi kancah Liga Malaysia 2019 apabila jumlah penajaan didakwa bernilai jutaan ringgit terlepas begitu saja berikutan kemelut yang melanda meskipun rundingan sudah mencapai kesepakatan pada 95 peratus.

Ezzrul Ikmanizar berkata, dia dan 17 lagi pemain memegang janji Ahmad Amizal bahawa beliau akan bertemu mereka pada 25 Januari depan bagi membincangkan masalah dihadapi antara mereka.

"Kami berpegang pada kata-kata dia (Ahmad Amizal) meskipun sebelum ini dia banyak berdolak-dalih ketika kami bertanya mengenai status gaji tertunggak kami dan bila boleh berjumpa dengannya," katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 6:05pm
d