arena

Pahang 'kampung' saya

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Kurang 24 jam selepas tiba di negara ini, Dickson Nwakaeme turun menjalani latihan bersama skuad Pahang di padang Taman Gelora, di sini petang tadi.

Kemunculan pemain Nigeria itu ternyata menarik minat lebih 300 penyokong untuk menyaksikan kelibat Nwakaeme yang pernah menyarung jersi Tok Gajah pada 2014 dan 2015.

Bagi skuad kendalian Dollah Salleh itu, kehadiran pemain berumur 33 tahun itu dinantikan bagi memperkuatkan jentera serangan sebagai persediaan mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pada masa sama, Pahang hanya menantikan seorang lagi pemain import untuk melengkapkan kuota lima import yang dibenarkan.

Nwakaeme ketika ditemui berkata, dia gembira kerana dapat kembali sekali lagi ke Pahang dalam misi memperkasakan skuad Tok Gajah terutama meraih kejuaraan.

“Saya berterima kasih kepada Pahang kerana menerima kembali selepas tiga musim meninggalkan skuad ini iaitu kali terakhir pada 2015.

“Pahang boleh dikatakan ‘kampung’ saya kerana peminat Tok Gajah begitu baik dan mahukan saya mewakili Pahang yang membuatkan diri ini begitu dekat,” katanya.

Selepas meninggalkan Pahang pada 2015, Nwakaeme yang digelar ‘Orang Besi’ menyarung jersi kelab Perancis, Angres SCO pada 2016 dan 2017.

Musim lalu, penyerang kelahiran Lagos, Nigeria itu tidak beraksi akibat kecederaan dan kini bersedia untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik.

Pada penampilan sulung Nwakaeme bersama Pahang musim 2014, penyerang itu membantu mereka menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Disiarkan pada: January 18, 2019 @ 11:42pm
d