arena

Bayern tekan Dortmund

Oleh Reuters

BERLIN: Leon Goretzka menjaringkan dua gol bagi membolehkan Bayern Munich menang 3-1 ke atas Hoffenheim di tempat lawan awal pagi tadi sekali gus mengancam kedudukan pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund.

Pemain tengah Jerman itu menjaringkan kedua-dua gol di separuh masa pertama dan Robert Lewandowski menemui sasaran pada minit ke- 87 untuk Bayern meraih tiga mata kepada 39, tiga mata di belakang Dortmund yang berkunjung ke RB Leipzig hari ini.

"Kami mahukan permulaan yang baik tahun ini dan beraksi dengan baik,” kata Goretzka kepada wartawan.

"Jelas, kami mahu menjadi juara. Kami enam mata di belakang sebelum ini dan perlu mengejar mereka. Kami adalah pemburu sekarang dan perlu menang setiap perlawanan.”

Ini kali pertama sejak 2011 Bayern gagal memulakan tahun baru sebagai pendahulu Bundesliga dan mereka menjuarainya sejak enam tahun lalu. Hoffenheim pula mengalami kekalahan pertama dalam 11 perlawanan dan kekal di tangga ketujuh.

Bayern yang menang kesemua enam perlawanan terakhir yakin mampu memecah dominasi Dortmund dan Liverpool menunggu mereka dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara bulan depan.

Bayern hampir di depan pada awal permainan menerusi percubaan Lewandowski dan Thomas Mueller namun rembatan kedua-duanya sedikit tersasar.

Jurulatih Hoffenheim, Julian Nagelsmann menang dua aksi liga di tempat sendiri menentang Bayern tetapi pasukannya tertekan sejak awal permainan dan penjaga gol Oliver Baumann terpaksa bekerja keras menyelamatkan gawangnya.

Dia menampan tandukan Lewandowski pada minit ke-35 tetapi tewas hasil rembatan susulan Goretzka.

Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan gol kedua pada minit akhir babak pertama hasil serangan balas pantas Bayern.

Hoffenheim kembali menampilkan aksi lebih garang pada separuh masa kedua dan Nico Schulz berjaya menembusi gawang pelawat pada minit ke-60.

Penjaga gol Bayern, Manuel Neuer menafikan jaringan penyamaan tuan rumah apabila menyelamatkan tandukan Adam Szalai pada minit ke-83 namun Lewandowski menjadi wira dengan menjaringkan gol ketiga, tiga minit sebelum tamat permainan.

"Kami gementar dan lemah pada babak pertama," Nagelsmann said. "Aksi kami lebih baik di babak kedua dan mempunyai peluang menyamakan kedudukan tetapi gagal dan tidak sepatutnya disia-siakan apabila menentang pasukan yang berkualiti tinggi seperti Bayern.”

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 8:08am
d