arena

Liridon ke Melaka United?

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Bukan Pahang dan bukan Johor Darul Ta'zim (JDT). Mungkinkah Liridon Krasniqi akan menyertai Melaka United (MU) musim ini?

Itu persoalan yang timbul selepas tular di media sosial sekeping gambar pengendali MU, Zainal Abidin Hassan dan Liridon yang dikaitkan bakal menyarung jersi skuad Hang Tuah bagi mengharungi saingan Liga Super yang bermula pada 1 Februari ini.

Pengurus MU, Datuk Yusoff Mahadi yang ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), hari ini, enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan bekas pemain Kedah itu.

Namun, Yusoff mengakui bersedia untuk membuka pintu rundingan bersama pemain berusia 27 tahun itu.

Bagaimanapun, segala-galanya terserah kepada Presiden MUSA, Adly Zahari dan jurulatih pasukan untuk menentukan kedudukan Liridon.

"Memang sudah menjadi viral semalam apabila Liridon hadir ke Melaka dan kebetulan saya tidak ada di Melaka.

“Tetapi, belum ada perbincangan secara muktamad bersama Liridon, mungkin dia datang ke Melaka sebab berminat nak bersama kami.

"Apapun, saya akan berbincang dengan Presiden MUSA untuk memuktamadkan kedudukan Lidiron ini," katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Terdahulu, Liridon atau turut dikenali dengan panggilan Mat Don dikatakan hampir pasti menyertai Pahang, namun membatalkan hasratnya.

Dia kemudian mencetuskan tanda tanya kemungkinan menyertai skuad Harimau Selatan apabila memuat naik gambarnya bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial, Instastory miliknya.

"Kita kena dapatkan dulu ‘lampu hijau’ presiden untuk membuat keputusan. Kalau tanya pendapat saya, Liridon sememangnya memenuhi kriteria yang kita mahu.

"Malah, kalau tengok pada instagram gambar mereka berdua, Zainal bukan main senyum lebar lagi macam puas hati. Tetapi macam saya katakan, ia berbalik (terserah) kepada presiden," kata Yusoff.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 6:54pm
d