arena

KAFA nafi Steinebrunner tiada Lesen A

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan laporan melalui media sosial yang mendakwa Pengarah Teknikal KAFA, Jorg Peter Steinebrunner tidak mempunyai kelayakan kejurulatihan Lesen A.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Steinebrunner mengambil alih tugas sementara mengendalikan pasukan dan memang disahkan mempunyai Lesen A, bahkan kini juga sedang mengikuti kursus Lesen Profesional.

"KAFA mempercayai kebolehan Jorg dan memberi tanggungjawab sementara kepadanya untuk mempersiapkan skuad The Red Warriors (TRW) mengharungi Liga Perdana 2019 dan dibantu jurulatih tempatan, Kamaruddin Mohamad.

"KAFA mengingatkan mana-mana pemilik akaun laman sosial supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih membabitkan badan induk bola sepak negeri ini.

"Malah KAFA juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pemilik akaun yang menyebarkan sebarang entri yang boleh menjejaskan kredibiliti dan imej KAFA.

"Tegasnya lagi sebarang pengumuman dan info berita membabitkan KAFA hanya sah menerusi media sosial rasmi milik KAFA sahaja," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 7:36pm
d