arena

TLHT teruskan rentak kemenangan

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Reputasi gah skuad jemputan dari China, Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC) langsung tidak menggerunkan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) selepas berjaya meraih kemenangan 4-2, hari ini.

Skuad tuan rumah membuktikan mereka juga berada pada kelas tersendiri apabila merakam kemenangan penuh bergaya ke atas LISHC dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), di sini.

Pemain import TLHT dari India, Jaswinder Kaur yang beraksi di posisi tengah muncul wira pasukannya selepas mencipta hatrik, sekali gus membantu pasukan mencatat kemenangan keempat berturut-turut.

Terdahulu, TLHT memulakan asakan awal selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit kedua perlawanan, namun pukulan yang diambil Ellya Syahirah Ellias gagal menerjah jaring gol.

Skuad jemputan dari China itu yang dibimbing Goa Lihua melakukan serangan pertama dan terus berjaya memperolehi jaringan pendahuluan, melalui tolakan Liu Xinyu pada minit kelima.

Skuad bimbingan Iman Gobinathan yang mendominasi permainan berjaya menyamakan kedudukan melalui tampanan cantik Jaswinder hasil pukulan Nur Syafiqah Mohd Zain pada minit ke-15.

Jaswinder kemudiannya sekali lagi meledak gol kedua pada minit ke-26.

Bersambung aksi di suku ketiga, LISHC menggandakan asakan dan jaringan penyamaan yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-33, melalui pukulan sudut penalti Li Feng.

Pada minit ke-41, Jaswinder kembali meletak pasukannya di depan 3-2, apabila bijak memanfaatkan peluang terhidang melalui situasi pukulan sudut penalti.

Bekas tonggak kebangsaan, Siti Rahmah Othman mengukuhkan kedudukan 4-2, apabila menjaringkan gol keempat pasukannya melalui situasi pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Sementara itu, Iman memuji semangat kental anak buahnya yang berjaya memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri dalam cuaca yang agak panas.

"Skuad lawan masih pasukan terkuat liga, tetapi pemain kami berjaya membuktikan kemampuan mereka selain tidak gentar dengan reputasi skuad itu," kata Iman.

Foto Rozainah Zakaria

Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 7:52pm
d