arena

Rashford berpotensi jadi besar

MANCHESTER: Marcus Rashford boleh meletakkan dirinya sebagai penyerang terbaik Liga Perdana ketika Harry Kane masih dalam proses pemulihan kecederaan, kata pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Rashford membuat penampilan ke-150 buat United dengan gol mengagumkan apabila mereka menewaskan Brighton 2-1 di Old Trafford dalam saingan Liga Perdana, malam tadi.

Penyerang England, Rashford meledak gol ke-41nya bagi kelab itu selepas hanya enam hari menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Tottenham di Wembley dan kini dia mempunyai tujuh gol dalam 10 penampilan dalam semua kejohanan.

Kapten England, Kane mengalami kecederaan buku lali ketika menentang United dan tidak akan kembali ke padang latihan sehingga awal Mac.

Menurut Solskjaer, Kane adalah penyerang tengah terbaik dalam liga elit England itu tetapi Rashford, 21, turut berpotensi menjadi penyerang hebat.

“Anda boleh pertikai penyerang lain tetapi saya gembira dia berada bersama pasukan saya,” kata Solskjaer yang juga bekas penyerang United. 

“Harry Kane mengalami kecederaan, jadi mungkin itu memberikan dia (Rashford) peluang lebih besar untuk menjadi yang terbaik di saat ini.

“Tiada siapa dapat mengatasinya ketika kerja, aspek sikap dan pada saat in dia sangat yakin apabila berada di hadapan gawang lawan.” – AFP

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 10:41am
d