arena

Petra mara suku akhir

Oleh AFP

MELBOURNE: Juara dua kali Wimbledon, Petra Kvitova mara ke pusingan suku akhir Terbuka Australia apabila mudah menewaskan pemain remaja Amerika Syarikat, Amanda Anisimova pagi tadi.

Pemain pilihan kelapan dari Czech itu menewaskan lawannya yang berumur 17 tahun dengan keputusan 6-2, 6-1 dan akan menentang pemenang antara juara lima kali Grand Slam Maria Sharapova dengan pilihan ke-15 dari Australia, Ashleigh Barty pada peringkat lapan terakhir.

Petra mencatat sembilan kemenangan berturut-turut tahun ini selepas menjulang gelaran pada kejohanan pemanas badan Antarabangsa Sydney dan masih belum keciciran walau satu set dalam empat perlawanan pembuka tirai Grand Slam itu.

Tetapi pemain berumur 28 tahun itu berkata, dia tetap waspada menentang Amanda yang menewaskannya di Indian Wells tahun lalu.

“Ia selalunya sukar apabila anda bermain dengan seseorang yang pernah menewaskan anda sebelum ini,” katanya.

“Saya bermula dengan sangat baik dan kemudian apabila gementar saya hilang, saya semakin lebih bagus.”

Keputusan terbaik Petra di Melbourne Park adalah layak ke separuh akhir 2012 dan mara ke lapan terbaik tahun ini adalah pencapaian terbaik sejak insiden tangan kirinya dicederakan pencuri pada Disember 2016.

Serangan itu yang berlaku di tempat kelahirannya di Republik Czech, menyebabkan tangan kirinya memerlukan pembedahan lanjut dan dia terpaksa berehat enam bulan.

“Saya rasa baik. Saya menikmati masa di gelanggang dan bermain tenis, yang menjadi keutamaan saya,” katanya.  

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 12:22pm
d