arena

City mudah benam Huddersfield

Oleh AFP

HUDDERSFIELD, United Kingdom: Manchester City kembali merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris Liverpool kepada empat mata selepas menewaskan kelab tercorot Huddersfield Town 3-0.

Gol-gol jaringan Danilo, Raheem Sterling dan Leroy Sane memastikan misi mempertahankan kejuaraan masih relevan selepas Liverpool menjarakkan diri kepada tujuh mata hasil kemenangan 4-3 ke atas Crystal Palace semalam.

City hanya memerlukan 18 minit untuk membuka jaringan menerusi rembatan Danilo yang terkena Christopher Schindler dan menewaskan Jonas Lossl.

Enam minit sebelum itu Sterling dinafikan sepakan penalti walaupun tampak seperti dikasari Terence Kongolo.

Ia adalah gol ke-100 City dalam semua pertandingan musim ini, statistik yang memberi gambaran ketajaman jentera serangan mereka, tetapi kemudian aksi anak buah Pep Guardiola sedikit merosot menuju rehat.

Bagaimanapun selepas rehat City kembali mengasak dan pada minit ke-54, hantaran Kevin De Bruyne menemui Sane yang kemudian membuat umpanan kepada Sterling untuk diterjemahkan kepada gol kedua menerusi tandukan padu.

Dua minit kemudian Sane mengesahkan kemenangan selepas menyempurnakan hantaran Sergio Aguero.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 12:28am
d