arena

Napoli terus tekan Juve

Oleh AFP

MILAN: Napoli menewaskan pasukan yang beraksi dengan 10 pemain Lazio 2-1, awal pagi tadi untuk kekal di tangga kedua Serie A selain merapatkan jurang enam mata kepada peneraju Juventus.

Gol babak pertama sumbangan Jose Callejon dan Arkadiusz Milik memastikan mata penuh dibawa pulang Napoli sebelum juara bertahan Juventus menerima kunjungan Chievo, awal pagi esok.

Napoli menghimpun 47 mata daripada 20 perlawanan dan kini berada tujuh mata di depan pasukan tangga ketiga Inter Milan yang diikat tanpa jaringan dengan Sassuolo, semalam.

Namun, ia kekalahan yang menjejaskan kedudukan Lazio tatkala mereka kini jatuh ke tangga kelima Serie A dan terkeluar daripada slot Liga Juara-Juara.

AS Roma kendalian Eusebio Di Francesco mempunyai kelebihan satu mata di depan Lazio yang akan menjadi tuan rumah kepada Juventus minggu depan.

Napoli turun tanpa khidmat pertahanan Kalidou Koulibaly, Marek Hamsik (kapten) dan Lorenzo Insigne (penyerang).

Namun sebenarnya skuad kendalian Carlo Ancelotti mampu menang dengan jaringan lebih besar selepas percubaan Milik dan Fabian Ruiz terkena palang.

Ciro Immobile merapatkan semula kedudukan buat Lazio pada minit ke-65 di Stadium San Paolo, tetapi pelawat bergelut selepas terpaksa beraksi pada 20 minit terakhir permainan dengan kekurangan seorang pemain apabila Francesco Acerbi diarah keluar padang.

“Kami kehilangan beberapa pemain, tapi anda tidak boleh menjadikan ia alasan, yang mana ia juga membuktikan kami mempunyai kekuatan secara mendalam,” kata Ancelotti.

“Satu ketika kami berdepan kesukaran, sepatutnya kami menanganinya dengan lebih baik selain terdapat beberapa kesilapan mudah, tapi secara keseluruhannya ia aksi yang berkualiti.”

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 8:27am
d