arena

Gol Dembele lonjak Lyon

Oleh AFP

PARIS: Moussa Dembele menjaringkan gol masa kecederaan untuk membantu Lyon mengatasi Saint-Etienne 2-1 pada aksi Ligue 1 awal pagi tadi manakala Marseille menamatkan kemarau sembilan perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Caen 1-0.

Tandukan Romain Hamouma meletakkan Saint-Etienne di depan pada minit ke-21 di Stade Geoffroy Guichard, namun Nafil Fekir mengikat semula aksi selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Ketika perlawanan seakan berakhir tanpa pemenang, penyerang Lyon, Dembele yang masuk sebagai pemain gantian tidak mensia-siakan peluang keemasan untuk menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-95.

“Kami melakukan sebaik mungkin untuk mengalami perasaan sebegini,” kata pengendali Lyon, Bruno Genesio. “Ia pertembungan tetangga yang menarik.”

Saint-Etienne turut memiliki peluang terbaik untuk memenangi aksi itu selepas percubaan Remy Cabella diselamatkan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes dan Leo Dubois menghalang percubaan susulan Lois Diony.

“Secara jujurnya saya berasakan tugas ini agak kejam dan ia seperti satu malapetaka,” kata jurulatih Saint-Etienne, Jean-Louis Gasset. “Kami memberikan segala-galanya. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang dan berhak mendapat mata.”

Lyon kini memintas musuh tetangganya itu ke tangga ketiga selepas menghadiahkan Saint-Etienne kekalahan sulung musim ini.

Terdahulu, Marseille melakar kemenangan pertama sejak November lalu biarpun kehilangan perancang tengah Dmitri Payet kerana kecederaan lutut selepas hanya 24 minit.

Morgan Sanson yang masuk menggantikan Payet, muncul wira tuan rumah apabila menanduk masuk hantaran silang Kevin Strootman dua minit selepas rehat sekali gus menghadiahkan Marseille tiga mata penting.

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 10:26am
d