arena

Iran bergaya mara suku akhir

Oleh AFP

ABU DHABI: Pemburu kejuaraan Iran terselamat daripada penalti minit pertama sebelum menyingkirkan Oman 2-0 sekali gus layak ke suku akhir Piala Asia, awal pagi tadi.

Penjaga gol tinggi lampai Alireza Beiranvand menyelamatkan sepakan penalti sebelum gol Alireza Jahanbakhsh dan Ashkan Dejagah di Abu Dhabi membantu Iran mara untuk bertemu China.

Vietnam muncul pasukan pertama layak ke suku akhir selepas mengetepikan Jordan menerusi penentuan penalti di Dubai sebelum China menyertai mereka apabila mengatasi Thailand 2-1.

Beiranvand menyelamatkan sepakan penalti Cristiano Ronaldo pada Piala Dunia tahun lalu dan dia melayangkan badan ke sebelah kanan untuk menafikan sepakan kapten Oman, Ahmed Al-Mahaijri, menyekat lawan daripada mendahului awal.

“Secara jujur, saya teringat Cristiano sekilas lalu sebelum sepakan itu,” kata Beiranvand.

“Saya tidak mahu orang berasakan apa yang berlaku di Russia hanya nasib semata-mata. Tapi menyelamatkan sepakan penalti tugas saya dan tanggungjawab saya membantu pasukan.”

Iran, yang mengintai peluang menamatkan kemarau 43 tahun kejuaraan Piala Asia, memecah kebuntuan selepas 32 minit apabila penyerang Brighton, Jahanbakhsh menyambut hantaran jauh sebelum menyepak bola melepasi penjaga gol Oman, Faiyz Al-Rusheidi.

Kapten Iran, Dejagah kemudian menyempurnakan sepakan penalti empat minit sebelum rehat selepas Mehdi Taremi dijatuhkan.

Beiranvand kemudian menghasilkan penyelamat akrobatik untuk menafikan percubaan jarak jauh Muhsen Al-Ghassani sejurus sebelum rehat.

“Ia kali pertama dalam karier saya satu pasukan dikenakan sepakan penalti pada minit pertama,” kata jurulatih Iran, Carlos Queiroz.

“Kami perlu bermain dengan sentuhan pemusnah. Penting menyudahkan perlawanan apabila anda mendapat peluang,” ujar bekas bos Real Madrid itu.

“Bola sepak satu tugas sukar buat pemain dan jurulatih perlu jujur dengan anda.”

Disiarkan pada: January 21, 2019 @ 11:09am
d